30 Jun 2014

KEPENTINGAN PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA

                                 Satu Malaysia jadi pegangan,
                                 Rukun Negara teras panduan,
                                 Satu Malaysia benteng negara,
                                 Rakyat Malaysia taat setia.

            Serangkap lagu satu Malaysia di atas menunjukkan betapa pentingnya perpaduan kaum diamalkan oleh rakyat Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh, slogan kata “Satu Malaysia’’ yang menjadi pegangan wazir negara kita, Dato’ Seri Najib Abdul Razak merupakan satu langkah yang jelas bagi memantapkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana, banyak kepentingan yang boleh kita peroleh daripada amalan perpaduan kaum di Malaysia.

            Antara kepentingan perpaduan kaum di Malaysia ialah mewujudkan masyarakat yang harmoni. Sebagai rakyat Malaysia, pasti kita sudah tidak asing lagi dengan wujudnya masyarakat berbilang kaum di negara kita seperti Cina, Melayu, India, Kadazan dan sebagainya. Peribahasa “ rambut sama hitam, hati lain-lain” jelas menunjukkan walaupun manusia mempunyai warna rambut yang sama tetapi sukma dan keinginan manusia adalah berbeza. Dengan mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat, barulah masyarakat harmoni yang mempunyai aspirasi yang sama dapat tercapai. Oleh hal yang demikian, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita hendaklah mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia,seperti kata peribahasa, “ bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.

            Industri  pelancongan merupakan salah satu industri yang menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan negara. Kunci utama dalam menarik kedatangan pelancongan ke Malaysia ialah dengan rakyat Malaysia mengamalkan perpaduan kaum. Perpaduan kaum yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia akan menarik minat pelancong dari luar negara untuk melihat sendiri amalan perpaduan kaum yang menjadi pegangan setiap rakyat Malaysia. Hal ini secara implicit dapat memperkenalkan keindahan Malaysia kepada masyarakat luar seterusnya menaikkan nama negara. Oleh itu, wajarlah rakyat Malaysia mengamalkan perpaduan kaum kerana selain dapat menarik kedatangan pelancong, perpaduan juga mampu menaikkan nama negara, seperti kata peribahasa,” sambil menyelam minum air”.

            Selain itu, dengan mengamalkan perpaduan kaum, kita juga dapat memajukan ekonomi negara. Apabila perpaduan kaum diamalkan oleh rakyat Malaysia, penindasan ekonomi tidak akan berlaku kerana setiap kaum akan bersaing dengan adil tanpa sedikit pun perasaan hasad dengki dalam diri mereka. Contohnya, persaingan yang berlaku dalam dunia perniagaan. Bukan itu sahaja, apabila rakyat mengamalkan peribahasa, “ bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” nescaya rakyat juga dapat bersama-sama memajukan ekonomi negara.

            Keamanan negara turut dapat dipertingkatkan apabila amalan perpaduan kaum telah meresap ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Seperti yang kita ketahui, tanpa perpaduan kaum, keamanan tidak dapat diwujudkan kerana rakyat akan bergaduh sesama sendiri sehingga menghancurkan keamanan sesebuah negara yang telah dibina itu. Pertelingkahan yang berlaku antara rakyat hanya akan menghasilkan suasana hidup yang porak-peranda. Oleh hal yang demikian, benarlah perpaduan kaum itu penting untuk meningkatkan keamanan negara.

            Konklusinya, semua pihak harus berganding bahu dan tidak mengharapkan pihak kerajaan semata-mata dalam mewujudkan perpaduan kaum. Janganlah kita bersikap evasif mahupun “ bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing” kerana perpaduan kaum itu hanya akan wujud apabila semua kaum menjalankan obligasi masing-masing dengan sempurna dan bersikap bertolak ansur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan